
Fungsi kokurikulum yang digariskan oleh Bahagian Sekolah (1989) adalah seperti berikut:
1. Pengukuhan dan Pengayaan
Pengetahuan yang diperoleh daripada mata pelajaran akademik dapat diperkukuhkan dan diamalkan melalui aktiviti kokurikulum. Aktiviti ini juga dapat memberi peluang kepada murid-murid mamahami konsep latihan dalam bidang tertentu dengan menggunakan pengetahuan tersebut dalam konteks yang lebih bermakna dan realistik. Di samping itu, cara begini juga dapat memberi pengalaman yang mungkin tidak terdapat di dalam bilik darjah. Segala aktiviti kokurikulum hendaklah dirancang terlebih dahulu supaya selaras dan saling melengkapi dengan apa yang diajar di bilik darjah. Ini boleh membantu murid-murid meningkatkan lagi prestasi mereka dalam pelajaran.
2. Khidmat Masyarakat
Murid, guru dan kakitangan sekolah boleh memberi khidmat kepada masyarakat dan begitulah sebaliknya. Tujuannya adalah untuk memupuk hubungan dua hala antara sekolah dan masyarakat serta menyemai semangat berkhidmat, bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain.
3. Hobi dan Rekreasi
Dengan melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum, murid dapat memperolehi pengetahuan dan kemahiran, di samping dapat mengisi masa lapang mereka dengan berfaedah serta membina kesihatan fizikal dan mental. Aktiviti ini juga dapat memberi keseronokan kepada murid.
4. Kerjaya
Aktiviti kokurikulum dapat memberi asas kerjaya kepada murid. Ia juga dapat membantu dan melengkapi pengajaran dan pembelajaran serta dapat menimbulkan kesedaran dan penyediaan pemilihan kerjaya murid. Pengetahuan dan kemahiran ini sangat berguna apabila mereka memasuki dunia pekerjaan kelak. Aktiviti ini boleh dijalankan secara kumpulan atau individu dan tidak hanya terbatas kepada kemudahan dan peralatan atau kepakaran yang ada di sekolah itu sahaja. Sekolah yang mempunyai masalah ini bolehlah berusaha mendapatkannya daripada sekolah lain atau masyarakat setempat.
5. Perkembangan Diri Individu
Semua aktiviti kokurikulum dapat memberi peluang kepada murid melatih diri sendiri untuk kesihatan diri, berdisiplin, memupuk minat dan bakat serta membina semangat untuk menghayati nilai perpaduan dan kewarganegaraan.